Monday, August 29, 2011

Ramadhan Terakhir

Ramadhan membawa beribu erti buat diri ini manakala Aidil Fitri begitu menyiksa jiwa atas kerinduan. Sedalam usia yang telah melebih suku abad, diri ini selalu berkata adakah ini Ramadhan terakhir. Rasanya tak seberapa amalan yang dilakukan disepanjang Ramadhan walaupun penat kaki terasa lengguh longlai semasa Tarawih namum merasakan terlalu sedikit amalan di bulan yang mulia ini. Hajat hati terlalu besar ingin mengejar Lailatul Qadar namum tahu yang hakikat diri ini lebih pada berangan daripada berusaha.

Sudah masuk empat tahun Aidil Fitri tidak bererti, kerana tiada kemeriahan hati walaupun pada zahir bersungguh sungguh membuat persediaan namum kerinduan pada Permata Hati masih belum terubat luka yang sehingga kini masih terasa. Hanya pada Allah SWT, diri ini memohon kasih sayang dan rahmat sebagai ganti dibuka bumi dengan penuh kehambaan. Tiada siapa yang mengetahui apa yang terasa dan diri ini hanya mampu sujud pada Yang Esa meluahkan kesedihan.


Setiap kali terpandang kerenah anak anak kecil bermesra dengan ayah dan keluarga mereka setiap kali itu juga hati ini pasti menanggis walaupun tiada air mata kelihatan. Saat dan kerinduan inilah yang menjadi kepedihan dalam diri ini sehingga kini. Namum takdir illahi mengatasi segalanya. Tiada sesalan tersemat hanya kerinduan terikat…bukan pada yang pergi tapi pada hari hari yang menanti.


Coretan ringkas ini, Ohalf tujukan khas buat Permata Hati…sekiranya ini benar Ramadhan Terakhir buat ayah. Apa yang ingin ayah katakan yang ayah merasa Syukur terhadap Allah Yang Masa Esa kerana memberi kesempatan pada diri ini merasa kenikmatan hidup menjadi insan yang bergelar Ayah, walaupun tiada dapat memberi kesempurnaan pada tanggungjawab…maafkan ayah.

Thursday, August 18, 2011

Mana Mak: Bahagian IV (akhir)

Beberapa tahun kemudian


Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.
Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”
Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.

Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.
Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.

Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.
Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..
Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.
Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,
"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.
Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" "

Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."

"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..

Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"

Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.

-------------------------------------------------------------------------------------------------


Cerita pendek ini Ohalf dapat daripada rantaian email yang berkemungkinan dari sebuah cacatan blog: Bila Embun Menitis...yang mana Ohalf anggap sungguh manis untuk dikongsikan.


Ohalf memohon ihklas tuan punya coretan izin untuk berkongsi coretan ini disini.


Ini juga buat tatapan dan peringatan buat Ohalf senditi dan buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa perasaan ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa.


Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu tanpa berjawab?


Wasalam.

Mana Mak : Bahagian III

Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.


Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.

Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."
Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.
Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.

Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.

Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.
Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.

Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.
Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.
Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat."

Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.

Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”
Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.

Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.

Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.

Bersambung…

Mana Mak: Bahagian II

Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.

Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nomor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.

Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"

Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .

Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.


Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.

Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.

Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.


Bersambung...

Mana Mak : Bahagian I

Hayati coretan cerita ini, dimana akhirnya membuat kita berfikir dimana kita dikalang mereka didalam coretan ini.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Jam 6.30 petang.
Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.
Ayah baru balik dari sawah.
Ayah tanya Mak, “Along mana?’
Mak jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.”
Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”
Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”
Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”
Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”
Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”
Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”
Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.

Dua puluh tahun kemudian
Jam 6.30 petang
Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.
Ayah tanya Along, “Mana Mak?”
Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”
Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”
Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”
Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”

Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.
Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"
Ateh menjawab, “Entah.”
Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.
Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”
Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.

Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.
Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.
Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"
Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”
Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.


bersambung....

Friday, August 5, 2011

KISAH BUDAK PENJUAL KUIH

Ohalf menerima cebisan coretan ini daripada seorang rakan bernama Badrul yang beliau terima daripada rantaian email. Benar atau tidak coretan ini tidak dapat Ohalf pastikan, yang pastinya pengajaran disebaliknya, mengajar siapa kita dan dimana kita apabila berada di bumi Allah SWT ini berbanding dengan insan kecil yang berhati waja...hayati coretan ini...



Hari itu selepas seminggu beraya dikampung, saya pulang ke Kuala Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk, saya menyusuri laluan lama, Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya singgah sebentar disebuah restauran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul dihadapan.



"Abang nak beli kuih? katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang menjadi penutup bakul kuih jajaanya.



"Tak apalah dik...Abang dah pesan makanan," jawapan saya ringkas.



Dia berlalu pergi. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudian saya nampak kanak kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja.



"Abang dah makan, tak nak beli kuih saya? katanya selamba semasa menghampiri meja saya.



"Abang baru lepas makan dik. Masih kenyang lagi ni," kata saya sambil menepuk-nepuk perut.



Dia beredar, tapi cuma setakat dikaki lima. Sampai di situ, dia meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu ditanya, "Tak nak beli kuih saya Bang, pakcik, kakak atau makcik?"



Molek budi bahasanya! Mamak restauran itu pun tidak menghalang dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan di hati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekali pun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.



Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh dideretan kedai yang sama. Saya buka pintu, membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi berdiri ditepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumannya.



"Abang dah kenyang, tapi mungkin abang perlukan kuih saya untuk adik adik abang, ibu atau ayah abang." katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang menutupnya.



Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul perasaan kesian dihati. Lantas saya buka dompet, dan menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan padanya.



"Ambik ni dik! Abang sedekah. Tak payah abang beli kuih tu," Saya berkata ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat mendadak. Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya. Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya saya melhat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua dua matanya.



Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak-kanak itu.



"Kenapa bang nak beli kuih ke?" tanyanya.



"Kenapa adik berikan duit abang tadi pada pengemis tu? Duit tu abang bagi adik! Kata saya tampa menjawab pertanyaannya.



"Bang saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat bang! katanya begitu lancar.



Saya sebak, sekali gus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tampa banak soal saya terus bertanya berapa semua harga kuih dalam bakul itu.



"Abang nak beli semua ke? Dia betanya dan saya cuma mengganguk. Lidah saya kelu nak berkata.



"RM25 saja bang."



Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya ke dalam plastik, saya hulukan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu.



Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan. Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatimkah? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirkannya? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kasihan, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjaya satu penghormatan.



Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya.








Bagi Ohalf, benar atau tidak coretan ini...bukan itu pokok persoalannya, tapi buat diri sendiri yang mana pengajaran yang boleh diambil sebagai iktibar...insyallah.


Gambar ini turut disertakan bersama rantaian email ini...namun kesahihannya tidak dapat Ohalf tentukan adakah inikah kanak kanak yang diceritakan oleh penulis sebenar...

Monday, August 1, 2011

Ramadhan Al-Mubarak



Salam Ramadhan buat semua, syukur kehadrat Illahi dengan limpah kurnia kasih dan sayang, dapat kita ditemukan dibulan Ramadhan Al-Mubarak pada tahun Hijri 1432.






Ohalf memohon kemaafan kerana telah sekian lama menyepi. Penyepian Ohalf banyak disebabkan oleh tugasan baru yang Ohalf perlu laksanakan. Ohalf berdoa agar kita bersama dapat menjalankan ibadah puasa dengan tenang dan jaya tak kira dimana kita berada.



Bersama samalah kita tanamkan ihtizam untuk menyempurnakan ibadah ini sebaik mungkin dengan andaian puasa ini mungkin puasa terakhir buat kita.



Dimasa yang sama, diawal Ramadhan ini Ohalf memohon kemaafan pada semua khususnya pembaca blog My Other Half sekiranya ada tulisan dan coretan disini menyakit hati.