Friday, August 5, 2011

KISAH BUDAK PENJUAL KUIH

Ohalf menerima cebisan coretan ini daripada seorang rakan bernama Badrul yang beliau terima daripada rantaian email. Benar atau tidak coretan ini tidak dapat Ohalf pastikan, yang pastinya pengajaran disebaliknya, mengajar siapa kita dan dimana kita apabila berada di bumi Allah SWT ini berbanding dengan insan kecil yang berhati waja...hayati coretan ini...



Hari itu selepas seminggu beraya dikampung, saya pulang ke Kuala Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk, saya menyusuri laluan lama, Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya singgah sebentar disebuah restauran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul dihadapan.



"Abang nak beli kuih? katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang menjadi penutup bakul kuih jajaanya.



"Tak apalah dik...Abang dah pesan makanan," jawapan saya ringkas.



Dia berlalu pergi. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudian saya nampak kanak kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja.



"Abang dah makan, tak nak beli kuih saya? katanya selamba semasa menghampiri meja saya.



"Abang baru lepas makan dik. Masih kenyang lagi ni," kata saya sambil menepuk-nepuk perut.



Dia beredar, tapi cuma setakat dikaki lima. Sampai di situ, dia meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu ditanya, "Tak nak beli kuih saya Bang, pakcik, kakak atau makcik?"



Molek budi bahasanya! Mamak restauran itu pun tidak menghalang dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan di hati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekali pun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.



Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh dideretan kedai yang sama. Saya buka pintu, membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi berdiri ditepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumannya.



"Abang dah kenyang, tapi mungkin abang perlukan kuih saya untuk adik adik abang, ibu atau ayah abang." katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang menutupnya.



Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul perasaan kesian dihati. Lantas saya buka dompet, dan menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan padanya.



"Ambik ni dik! Abang sedekah. Tak payah abang beli kuih tu," Saya berkata ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat mendadak. Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya. Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya saya melhat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua dua matanya.



Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak-kanak itu.



"Kenapa bang nak beli kuih ke?" tanyanya.



"Kenapa adik berikan duit abang tadi pada pengemis tu? Duit tu abang bagi adik! Kata saya tampa menjawab pertanyaannya.



"Bang saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat bang! katanya begitu lancar.



Saya sebak, sekali gus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tampa banak soal saya terus bertanya berapa semua harga kuih dalam bakul itu.



"Abang nak beli semua ke? Dia betanya dan saya cuma mengganguk. Lidah saya kelu nak berkata.



"RM25 saja bang."



Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya ke dalam plastik, saya hulukan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu.



Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan. Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatimkah? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirkannya? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kasihan, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjaya satu penghormatan.



Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya.








Bagi Ohalf, benar atau tidak coretan ini...bukan itu pokok persoalannya, tapi buat diri sendiri yang mana pengajaran yang boleh diambil sebagai iktibar...insyallah.


Gambar ini turut disertakan bersama rantaian email ini...namun kesahihannya tidak dapat Ohalf tentukan adakah inikah kanak kanak yang diceritakan oleh penulis sebenar...

No comments:

Post a Comment